Tuesday, April 3, 2012

Perancangan kelab bolasepak rasmi syarikat

Selepas melihat kehadiran ramai peserta dalam permainan bolasepak di padang TPM pada khamis minggu lepas, tergerak rasa dalam hati untuk melakukan perancangan untuk mewujudkan sebuah komuniti bolasepak di syarikat yang akan dianggotai oleh para staf. Ramai staf yang berminat untuk menjadikan aktiviti ini meriah dan tahun ini akan mewujudkan sesuatu fenomena baru dalam aktiviti kegemaran kaum Adam ini.

Pada minggu lepas juga, Sport and Recreation Club (SRC) telah mengadakan mesyuarat agung tahunan untuk perlantikan AJK baru. Aku merupakan salah seorang yang tercalon namun tidak hadir pada mesyuarat tersebut. Pada ramalan aku, nama ahli yang tercalon tetapi tidak hadir, secara automatik akan digugurkan sepertimana yang berlaku pada mesyuarat agung sebelum ini. Namun begitu perkara sebaliknya berlaku. Aku terus disenaraikan sebagai salah seorang AJK kelab tersebut.

Aku faham kenapa rakan-rakan memberi sokongan kepada aku. Mereka mahu aku wujud di dalam kelab tersebut untuk meneruskan program futsal yang mana telah mendapat ura-ura tidak akan disenaraikan sebagai aktiviti pada tahun 2012. Kerana yakin bahawa aktiviti tersebut akan dipinggirkan, aku tidak merasakan aku perlu berada di dalam AJK kelab. Harapan untuk meneruskan program yang tidak pernah terlepas setiap tahun itu pasti tidak mampu aku laksanakan sebagaimana yang rakan-rakan harapkan.

Pagi tadi aku dijemput untuk mengikuti mesyuarat AJK kelab disebelah petang. Namun aku meminta untuk berbincang dahulu kerana aku tidak yakin mampu menggalas tugas untuk program-program lain sekiranya aku menerima jawatan. Namun, Kak Ida meyakinkan aku bahawa perkara-perkara ini perlu dipelajari untuk meluaskan skop tugas. Aku cuba memberikan alasan sibuk namun alasan itu tidak cukup kuat untuk digunakan.

Aku cuba memikirkan sesuatu sebagai bakti aku kepada rakan-rakan yang mengharapkan futsal terus disemarakkan. Tidak dinafikan, ada kesilapan kita sebagai ahli semasa mengisi borang aktiviti. Kita lupa untuk mengundi program futsal kerana kita terlalu yakin bahawa itu adalah aktiviti tahunan. Atas kekhilafan tersebut, sesuatu mesti dilakukan.

Setelah berfikir, aku meminta agar kami dibenarkan mewujudkan sebuah pasukan bolasepak rasmi syarikat. Kak Ida meminta aku agar menyediakan kertas kerja berkenaan dengannya yang mana kelab tersebut akan wujud di bawah naungan SRC, mempunyai perancangan aktiviti, bilangan ahli serta beberapa keperluan lain. Melalui kewujudan kelab rasmi ini, mungkin inilah pengubat duka kepada semua rakan-rakan yang telah kehilangan satu-satunya aktiviti kegemaran mereka dan ketiadaan aktiviti paling laris dalam penyertaan staf.

Kebangkitan bolasepak syarikat sudah bermula dan kerana minat anda semua, aku akan mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk mengelolakan komuniti bolasepak ini yang akan dibantu oleh beberapa orang pemain.

Pada hari ini juga, dua biji bolasepak baru telah dibeli untuk meransang semangat pemain yang sedang membara. Aku dan Sattu, salah seorang rakan dalam bolasepak sanggup meredah hujan lebat untuk mencapai objektif hari tersebut. Ia merupakan hasil kutipan daripada semua rakan-rakan staf samada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Rakan-rakan yang tidak bermain turut menyalurkan sedikit bantuan sebagai tanda sokongan. Betapa bersemangatnya staf-staf syarikat dalam memberi sokongan untuk membangkitkan kemeriahan bolasepak. Alhamdulillah, dalam diam-diam kita bersatu dalam sebuah perkara yang kita rancangkan bersama hasil daripada rasa satu hati.

Aku turut tidak melupakan jasa baik En. Kadir, pengusaha Kadir Food Court di kafeteria syarikat yang sudi mendermakan wang tunai sebanyak RM80 untuk pembelian bola baru sebagai tanda prihatin terhadap perkembangan bolasepak dan turut datang menjenguk kami bermain di padang. Dia turut menawarkan untuk penyediaan air sewaktu permainan petang pada sesi-sesi akan datang. Semoga Allah membalasnya.

Aku turut berharap agar syarikat boleh menyumbang sesuatu kepada komuniti bolasepak ini tanpa perlu melalui prosedur-prosedur yang terlalu sukar untuk menyokong kegiatan sihat staf mereka ini seperti penyediaan jersi, dana untuk perlawanan persahabatan, first aid dan beberapa keperluan lain yang perlu. Kami rasa malu bila orang lain tahu bahawa kami mewakili himpunan staf syarikat, tetapi memakai jersi yang dipinjam dari syarikat lain atas belas ehsan. Mereka tentu tidak percaya syarikat segah ini tidak dapat menyediakan sekurang-kurangnya jersi untuk dipinjamkan kepada staf walaupun ia bukan dikhaskan untuk bolasepak semata-mata.

InsyaAllah, seandainya perancangan ini berjalan lancar, kita akan memperoleh sebuah kelab bolasepak rasmi syarikat yang dianggotai oleh staf-staf sendri. Jika proses ini memakan masa yang agak lambat, kita berharap agar rakan-rakan yang masih setia bersama syarikat mampu meneruskannya kerana kita telah bertapak, kita perlukan masa untuk pembinaan dan pengukuhan. Dan andalah orangnya yang perlu menghidupkan dan menyuburkannya.

0 Komen: