Kalau diperbandingkan di antara kedai makan Mamak dengan kedai Tom Yam, yang mana pilihan anda? Kali ini blog Zaman Berzaman ingin merungkai perbandingan antara kedua-dua jenis kedai tersebut.
Jika anda lihat dari segi kepantasan, kedai mamak mendahului dalam banyak aspek. Pernah sekali aku dan rakan-rakan aku meninggalkan sebuah restoran Tom Yam di kawasan Puncak Jalil begitu sahaja akibat kegagalan pelayan mereka mengambil pesanan kami setelah 15 minit duduk sedangkan tempat kami berada betul-betul di tengah kawasan antara bahagian dalam dan luar restoran yang mana menjadi tempat pelayan mereka lalu lalang selepas mengambil pesanan pelanggan lain.
Aku tidak nafikan bukan semua kedai mamak melakukan perkhidmatan pantas, namun lambat mereka itu masih dalam masa yang boleh diterima berbanding kedai-kedai Tom Yam. Kadangkala, kelambatan yang sering berlaku di kedai-kedai Tom Yam ini bukan disebabkan oleh faktor ramai pelanggan, tetapi kerana pelayannya yang sibuk berbual, menghisap rokok dan tidak prihatin dengan pelanggan yang baru sampai. Dengan kata lain, pelayannya tidak serajin pelayan di kedai mamak.
Tidak dinafikan juga, ada kedai Tom Yam yang sangat cekap seperti sebuah kedai ikan bakar di kawasan Puncak Jalil iaitu Restoran K'Chiangmai (dahulu dikenali sebagai K'Sempoi) dengan perkhidmatan yang baik serta keramahan pelayannya. Namun nisbah kedai-kedai Tom Yam yang sebaik ini amat kecil.
Dari sudut lain, kelebihan kedai Tom Yam lebih ketara apabila kita melihat pelayannya boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka terdiri daripada orang-orang selatan Thai atau Indonesia. Berbeza dengan pelayan di kedai mamak, kebanyakkan pelayannya sekadar memahami pesanan tetapi tidak mampu di bawa berbicara kerana kebanyakan mereka datang dari tanah India.
Walau apapun pilihan restoran kita, kita sebagai pelanggan bebas membuat pilihan. Adakalanya kita mahukan masakkan ala India sebagai santapan makan malam dan adakalanya kita mahu menjamu hidangan ala Melayu. Jika punyai selera besar, mungkin hidangan Western menjadi pilihan.