Tuesday, April 5, 2011

Penangan 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'

Cerita pasal filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah', siapa yang tidak tahu. Filem yang tidak perlu dipromosikan lagi namun tetap menjadi pilihan untuk mereka-mereka yang ingin menonton filem-filem Melayu secara santai dan mahukan komedi.

Aku antara orang yang boleh dikirakan lambat untuk menonton filem yang menjadi buah mulut ramai dikalangan kita rakyat Malaysia. Setiap kali cuba untuk membeli tiket ini dipanggung, setiap kali itu tiket habis dijual. Ada pun tiket yang ada hanyalah untuk tayangan lewat malam dan aku kena menunggu untuk berjam lagi lamanya hingga memaksa aku untuk tidak menonton tayangan tersebut. Adik aku pula terus-menerus mengesyorkan untuk pergi menontonnya

Pada minggu ke-3 tayangan tersebut di tayangkan, barulah aku dapat menonton filem tersebut. Itu pun aku dan 4 orang lagi rakan aku terpaksa bergerak ke tiga panggung berlainan untuk mencari tiket. Alamanda Putrajaya pada waktu itu telah penuh. Tidak mahu untuk menonton cerita lain, kami berlima bergerak ke Jusco Cheras Selatan. Nasib tidak begitu baik kerana sistem panggung tersebut mengalami kerosakkan. Kami berlima hampir putus asa. Namun kami gagahkan diri untuk bergerak ke The Mines Shopping Mall, Balakong. Sesampai di sana tiket pula sudah habis terjual. Ada desas desus yang mengatakan bahawa ramai penonton telah menonton filem ini berkali-kali menyebabkan panggung sentiasa penuh. Kami pula masih belum menonton filem tersebut. Namun begitu, penjaga tiket tersebut memberi pilihan andai kami mahu duduk di hadapan di bahagian kanan. Memandang kami tiada pilihan lain, kami teruskan hajat kami untuk menonton cerita tersebut walaupun dalam keadaan yang tidak selesa. Filem tersebut ternyata tidak mengecewakan. Gelak ketawa dari penonton yang hadir menggambarkan betapa mereka terhibur dengan apa yang disampaikan melalui cerita filem tersebut. 

Berbeza dengan filem sebelumnya iaitu 'Zombi Kampung Pisang,' watak-watak filem tersebut lebih teralih kepada kekuatan beberapa watak seperti Awie, AC Mizal, Que Haidar, Eizlynn & Loloq. Namun dalam filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah', selain watak utama iaitu Awie, watak-watak lain turut dikembangkan. Setiap pelakon memberi impak yang baik dalam kemeriahan suasana filem tersebut. Antara watak yang meninggalkan sesuatu di dalam hati setiap penonton adalah watak Shy8 yang memegang watak sebagai Usop Wilca. Setiap bait-bait katanya menjadi ikutan dan setiap aksi yang dilakukannya sering datang dengan gelak-tawa penonton. Gelagat Johan tidak mengecewakan serta Zami Ismail (Pak Abu), Man Kadir (Pak Jabit), Ummi Nazeera (Cik Nin) dan beberapa pelakon lain. 
Pada pendapat aku, inilah filem moden pertama di Malaysia yang berjaya membawa setiap watak di dalam filem tersebut lebih hidup. Setiap watak mempunyai satu identiti sendiri yang mampu dikenang oleh setiap penonton. Skrip yang bersahaja yang membawa penonton merasai seperti perbulan sehari-harian dengan aksi-aksi yang sederhana yang tetap mencuit hati.

Pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian hujung minggu lepas, kehadiran Abi Hurairah dan Ucop Wilca di akhir-akhir rancangan tersebut memberi kemuncak yang besar dalam anjuran rancangan tersebut kerana populariti Ucop Wilca begitu besar dan menambah kemeriahan majlis. Aku lihat semua penonton berdiri dengan kehadiran mereka berdua dan penonton memberi sokongan penuh terhadap setiap apa yang keluar dari mulut pelakon komedi baru ini.
Terima kasih kepada Mamat Khalid kerana berjaya menghidangkan rakyat Malaysia dengan filem komedi ringan citarasa orang Melayu Malaysia ini dengan garapan terbaik dan mencetuskan fenomena baru dalam era perfileman moden. Inilah satu-satunya filem komedi terbaik yang pernah muncul selepas era kegemilangan P. Ramlee.

Sedikit sedutan ABPBH bersama Ucop Wilca

0 Komen: