Sunday, April 3, 2011

Merasai suasana perang dalam 'World Invation: Battle LA'

Mungkin ramai yang telah menonton filem 'World Invation: Battle LA'. Seperti biasalah, cerita buatan Amerika akan memastikan dunia yang kononnya dalam cerita itu diserang oleh makhluk asing sudah semestinya diselamatkan oleh bangsa Amerika sendiri. Seperti cerita-cerita perang lain mereka seperti di Vietnam, walaupun merekalah penjajah, mereka akan menampilkan diri mereka sebagai pejuang. Sejarah tahu mereka kalah dalam perang Vietnam, namun mereka tunjukkan pada dunia melalui filem bahawa merekalah hero.

Bukan nak bercerita mengenai negara yang terkenal sebagai penjajah dunia moden ini, mahupun negara yang terkenal dengan kegemaran mereka menyelesaikan krisis antarabangsa melalui senjata ini, tetapi untuk membawa anda ke sebuah cerita perang hasil buatan orang Amerika ini. Kita biasa melihat cerita perang askar. Kita juga biasa melihat cerita makhluk asing. Namun dalam filem ini, mereka menggabungkan ketenteraan dan makhluk asing sekaligus.

Sabtu lepas, aku bertiga bersama rakan-rakan menonton filem ini di Alamanda, Putrajaya. Duduk di barisan ke-5 ke skrin gambar. Walaupun agak dekat, namun tidak mengganggu tumpuan. Cuma kepala kerap menggeleng kiri ke kanan untuk memastikan aku melihat aksi yang berlaku di keseluruhan skrin. Di sebelah kanan pula ada 3 orang awek turut menonton cerita sama. Memang ligat jugalah kepala menggeleng.

Aksi cemas peperangan dapat dirasai dari awal cerita. Bagaimana askar cuba menyelamatkan orang awam, turut cuba melindungi rakan-rakan askar serta bagaimana mereka berasa tidak selamat apabila berada di tempat perlindungan. Sinar harapan turut terpadam apabila bantuan yang diharap tiba tidak muncul pada masanya. Adapun bantuan yang datang, bantuan tersebut turut menjadi mangsa serangan selepas keudara. Satu demi satu kecelakaan menimpa. Dalam keadaan genting seperti itulah perlunya semangat berpasukan. Satu kepala dengan satu arahan dan dengan satu arahan yang baik akan memberi kesan positif kepada ahli tentera yang lain.

Dengan bunyi pembesar suara panggung yang sangat memberi kesan, setiap kali letupan berlaku ia memberi kejutan. Ia menambah perasaan gemuruh seolah-olah diri berada dalam suasana perang. Mereka berjaya membawa penonton merasai suasana tersebut dengan bunyian dan pergerakkan kamera yang sangat berkesan.



Dalam merasai suasana demikian, aku teringat bagaimana cemasnya perasaan semasa bermain paintball dulu. Malangnya aktiviti sehebat itu sudah lama tidak dianjurkan. Bagi aku ia seperti sebuah latihan untuk 'teamwork manangement'. Tidak perlulah bersusah payah untuk memanggil penceramah untuk mengajar kita bagaimana untuk mengurus kerjasama pasukan. Biar kita semua praktikkan melalui aktiviti sebegini. Secara peribadi, bagi aku aktiviti seperti Go-Kart memang menyeronokkan dan memberi pengalaman baru. Namun ia lebih bersifat individu, bukan berpasukkan. Tidak memberi impak yang besar dalam membina semangat kerjasama.

Bagi mereka-mereka yang belum pernah merasai bagaimana rasanya situasi peperangan, perasaan cemas untuk terus bernyawa, berlindung untuk mengelak serangan dan mengatur stategi, berkorban diri untuk ke hadapan untuk memastikan kerja rakan-rakan dibelakang lebih mudah; rasailah pengalaman paintball.

0 Komen: