Wednesday, February 16, 2011

Bell's palsy dan aku

Jumaat, 11 February 2011, menjelang makan tengahari pada pukul 12.30pm sebelum menunaikan solat Jumaat, aku rasakan sesuatu yang tidak normal berlaku dalam diriku. Teh ais yang ku sedut menggunakan straw keluar memercik sedikit di atas meja. Menyedut air itu pun agak sukar. Terpaksa aku bantu dengan jari. Aku kurang pasti akan apa yang berlaku ketika menjamah makanan.

Selepas makan, aku menunggu Mie di lobi kerana dia akan menaiki motor bersama aku ke surau solat Jumaat di Puncak Jalil. Mie ke tandas masa itu. Aku beberapa kali mengetap bibir tapi aku rasakan ia agak sukar tidak seperti biasa. Selepas Mie keluar, aku cuba lagi beberapa kali sehingga kami bergerak ke surau tersebut. Hati aku mula resah. Kebiasaannya aku melelapkan mata sementara khutbah belum berkumandang. Namun hari itu perasaanku begitu risau hingga sukar untuk aku terlelap. Selepas itu, seluruh khutbah Jumaat itu aku dengari berkenaan Hari Valentine.

Balik dari kerja, aku memasak sosej kerana berasa lapar. Kali ini malang menimpa kerana sosej itu meletup kerana ais di dalamnya belum mencair. Terkena tangan kanan aku yang sedang membeleknya. Akibatnya tangan aku melecur. Aku cuba mengalirkan air untuk mengurangkan kesakitan itu.

Menjelang ke pukul 8:00pm, aku dan beberapa rakan ITD bergerak ke Tonga De Futsal untuk pertandingan futsal. Hatiku agak tidak tenteram mengenangkan nasib aku hari ini terutama kegagalan aku menyedut straw dan mengetap bibir petang tadi. Selepas habis pertandingan, Nasrul menegur aku di meja makan sebuah restoran kerana mata aku kelihatan kerap berkedip sebelah. Aku pula di hubungi oleh Tonga De Futsal untuk mengambil IC Zaki yang tertinggal. Pada masa itu aku mengambil kesempatan untuk melihat wajahku di cermin motorsikal orang lain. Aku cuba mengangkat kening dan aku dapati aku gagal mengangkat kening sebelah kanan. Mata sebelah kanan pula agak kelihatan layu tak bermaya. Aku cuba pelbagai mimik muka dan aku dapati pergerakkan otot tidak sekata antara kiri dan kanan. Sekali lagi kerisauanku bertambah risau. Apa yang bermain dalam kepala ku adalah perkataan 'Stroke'. Kembali ke meja makan, aku tidak banyak berkata-kata. Aku cuba sembunyikan raut wajahku yang agak tidak seimbang.

Sabtu, 12 February 2011, aku berehat di rumah. Aku tidak mahu keluar jauh waktu ini demi menyembunyikan apa yang telah berlaku padaku dihadapan orang ramai. Aku sempat menulis sesuatu di laman web Facebook berkaitan masalahku dengan penyakit yang agak misteri ini. Sue, isteri Mie memberitahu yang dia perasan kelainan wajahku kepada Mie. Faizul pula menambah dengan jangkaannya, 'Angin Ahmar'. Aku akui yang aku juga risaukan penyakit tu. Tidak kurang juga dengan pendapat agar aku bertemu dengan para ustaz, takut akibat perbuatan sihir. Namun rakan-rakan lain cuba menaikkan harapanku dan terus memberi sokongan moral yang membuatkan aku terharu.

Menjelang malam itu, aku pula menerima pesanan ringkas yang tidak menyenangkan daripada orang yang aku harapkan memberi sokongan kepadaku dalam saat-saat begini. Dalam keadaan begini yang mana mental dan emosi aku terganggu, tidak sesekali aku jangkakan pesanan sedemikian muncul. Aku tidak mahu membalas panjang kerana ini bukan kali pertama permintaan sedemikian darinya. Telah berkali-kali dia menyebutnya dan setiap kali itu aku sering menasihatinya agar bawa berbincang andai hatinya gundah, bukan muktamadkan melalui SMS. Bertanya khabar aku pun tidak! Namun kali ini aku cukup tidak dapat menahan emosiku dan tidak mahu lagi menghalang. Aku pun dah macam ni! Apa yang mampu aku balas hanyalah perkataan 'OK'.

Ahad, 13 February 2011, aku menerima pesanan ringkas daripada Azza. Seawal-awal pagi itu Azza mendapat info daripada seorang rakannya seorang doctor berkaitan masalah yang aku hadapi. Pesanan ringkas rakannya itu berbunyi:

"Morning, yr friend adam, i suspect he's suffering fr a condition called bell pulsy, a temporary paralise on 1 side of d face caused by viral infection. In some cases, it'll take awhile for facial muscles to go back normal. Advise him to see specialist."

Pesanan ringkas itu memberi sedikit penawar kepada kedukaan aku yang ditimpa malang dalam masa yang singkat. Sepanjang dua hari di hujung minggu tersebut, aku mengharapkan rehat itu memberikan sinar agar ia kembali normal namun ia tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut. Di tambah dengan derita melecur di tangan kananku yang menggelembung, serta SMS semalam dari orang yang aku harapkan menceriakan kegusaranku yang aku belek2 berulang-ulang kali, kegusaranku semakin bertambah-tambah dengan rasa pilu yang makin menebal.

Isnin, 14 February 2011, aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti sakit. Selepas menghantar Lai ke tepat kerja, aku terus bergerak ke klinik panelku di Sri Kembangan. Klinik panel tersebut memberikan aku sijil cuti sakit serta surat untuk merujuk ke pakar. Tanpa berlengah, aku bergerak ke Hospital Serdang dan menuju ke bahagian kecemasan. Di sana, aku diperiksa untuk melihat masalahku berdasarkan surat rujukan tersebut sebelum aku dibawa ke doktor yang sepatutnya. Mereka meminta untuk aku melakukan perlbagai pergerakkan muka termasuk 'senyum seperti biasa'. Dalam hati aku berkata, "bagaimana boleh aku senyum seperti biasa kala ini?"


Selepas itu mereka meminta untuk aku mengambil nombor. Penantian hingga ke tengahari dan pergerakkan nombor agak perlahan memandangkan para doktor bergilir-gilir berhenti rehat. Aku kemudian dilayan oleh seorang doktor perempuan muda berbangsa india selepas pukul 3.00 pm. Aku tanyakan padanya, adakah ini 'Stroke'? Dia ketawa kecil lalu menyuruhku menguji tangan kananku dengan menggenggam jari telunjuknya. Selepas itu, dia menghubungi seorang pakar untuk merujuk aku. Seperti biasa di hospital kerajaan, dia mengaturkan temujanji pada hari Rabu nanti untuk beberapa ujian memandangkan pada hari Selasa, petugas di bahagian-bahagian tertentu akan turut bercuti sempena Maulidur Rasul.

Rabu, 16 February 2011, selepas sehari berehat di hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, aku menggerakkan perjalananku keesokkannya seperti yang dirancangkan dalam temujanji buku pesakit. Sekali lagi di bahagian pakar, mereka menguji kemampuan otot-otot mukaku. Doktor menerangkan apakah penyakit ini dan bagaimana kemungkinan ia berlaku. Dia memberitahu bahawa pergerakkan saraf kita bergerak dari 2 arah samada dari telinga ke bahagian atas muka serta dari telinga ke bahagian bawah muka. Apa yang berlaku pada aku baru berada di tahap-2 kerana aku masih boleh menggerakkan sedikit otot-otot muka walaupun mungkin tidak secekap sebelah yang sihat. Kerana ia menyekat kedua-dua bahagian atas dan bawah muka, ia disyakki berpunca dari saraf di bahagian telingan. Aku di bawa ke sebuah bilik untuk ujian audio. Keputusannya normal. Selepas itu aku masuk untuk ujian mata di bilik lain pula dan terdapat masalah sedikit. Retina mata aku lambat berkembang.

Menjelang petang, aku menjalani terapi muka selama hampir 3 jam. Di sekeliling aku pada waktu itu ramai dikalangan warga emas yang menghadapi masalah lumpuh kaki, tangan dan badan yang menerima terapi. Syukur pada Allah, apa yang berlaku kepada aku masih di tahap sedikit.

3 Komen:

suSueEmiMie said...

doakan adam semoga cepat sembuh..aaaminnn

Adieyzah said...

kene berapa lama tuk sembuh? sekarang nih pun kena bendalah nih jugak,dah hampir 2 bulan ..

Alfreedino Ahmad said...

Adieyzah...saya ambil masa 3 bulan. Tapi kne rajin buat rawatan yg guna eletrik tu nak aktifkn saraf. selain tu buat senaman muka setiap pagi. suba ketawa dan main mimik muka. insyaAllah akan ok