Wednesday, November 24, 2010

D'Boys - Sesi Latihan Part 2


Sesi jamming di studio bermula mengikut jadual. Walaupun wang peruntukkan masih belum kami peroleh, kami teruskan sesi latihan kami dengan wang sendiri. Maklumlah pada waktu itu bulan November baru hendak bermula. Gaji baru masuk dan mengeluarkan wang untuk sesi latihan masih boleh ditampung.

Bezanya pada kali ini adalah Azza akan turut serta. Aku, Ike dan Syam menjadi penunjuk jalan. Kami bertiga agak segan untuk berhadapan dengan Azza. Maklumlah kami tidak pernah bekerja atas apa-apa urusan sebelum ini. Apa yang menjadi kerisauan aku nanti adalah bagaimana Azza akan menyesuaikan diri dengan kami semua yang suka bergurau. Lagipun hanya dia seorang sahaja perempuan dikalangan kami nanti. Takut dia akan berasa rimas dengan keadaan di dalam studio. Suasana di studio pasti akan membingitkan telinga berbeza dengan keadaan di atas pentas yang disediakan muzik latar atau karaoke. Aku sendiri mendapat kesan negatif pada kali pertama bermain di studio jamming pada minggu sebelum itu semasa di Serdang dengan kesan sakit kepala dan rasa mual.

Bermain lagu 'Malam Pesta Muda Mudi' bersama Azza membuatkan kami terpaksa menukarkan key kepada key yang selesa untuk nyanyiannya. Maklumlah sebelum ini kami cuma menggunakan key lelaki. Tentu sukar untuk Azza menyanyikannya. Apa yang menjadi tarikan pada mata aku malam pertama pertemuan itu, kami semua seolah-olah sepakat untuk berpakaian hitam kecuali Azhar yang mengenakan baju-T berwarna merah. Secara tak langsung, ada aura yang kuat untuk menyatukan hati kesemua kami seawal pertemuan. Kerana ketaksengajaan itu, aku mampu mengingati pertemuan itu hingga saat aku menulis blog ini. Azza pula jenis orang yang mudah bergaul dan tidak cerewet. Tidak sukar untuk dia menyesuaikan diri dengan kami. Bekerjasama dengannya lebih mudah dari apa yang aku fikirkan. Segalanya masih berjalan lancar dan kami sempat makan beramai-ramai selepas sesi latihan pada malam itu.

* * * * * *

Seawal bulan November itu, aktiviti di IRIS pula agak padat. Selain kerja-kerja kami yang agak banyak untuk sampel pelanggan dan rutin harian production, aktiviti IRIS dipenuhi dengan Bulan Kesenian Islam, Bulan Kesihatan serta latihan kebakaran yang banyak melibatkan aku sebagai salah seorang ahli First Aid. Aku terlibat dalam sesi saringan Nasyid sebagai peserta dan sesi akhirnya sebagai fotografer. Dalam Kuiz Kesihatan anjuran IFAC, aku hanya terlibat dalam sesi akhir terutama dalam membantu untuk urusan bungkusan hadiah dan menjadi fotografer. Sekali lagi untuk latihan kebakaran, aku dipangggil untuk menjadi fotografer. Pada bulan November juga aku mula kembali bermain bola sepak di padang yang setelah lama aku tinggalkan. Dalam kesibukkan itu, aku tidak lupakan pada jadual sesi latihan untuk jamming di studio pada sebelah malamnya.


* * * * * *

Pada minggu ke dua, Kak Ida sepatutnya bersama kami pada petang tersebut untuk meninjau perkembangan band. Namun begitu, Kak Ida turut sibuk menguruskan para penari untuk malam dinner. Kami terpaksa berlatih sendiri tanpa pengurus. Namun begitu kata Kak Ida, dia akan cuba untuk meluangkan masa pada sesi sebelah malam. Malangnya pada minggu berikutnya Kak Ida menghadapi masalah keluarga kerana salah seorang anaknya yang sakit perlukan jagaan. Hasrat untuk memberitahu tentang lagu ciptaan Azim dan peruntukan latihan terus tergendala. Pada masa itu kami teruskan latihan dengan lagu 'Runaway', 'Malam Pesta Muda Mudi', 'That Thing You Do' dan 'Twist and Shout'. Kami sangat bertuah kerana kehadiran para penonton seperti Norida, Kak Ungku, Fieda dan Illa. Pada waktu tersebut, aku dan Ike membuat kejutan kepada semua dengan memulakan lagu IRIS Di Hati. Azim yang malu-malu ketika itu kami paksa untuk menyanyikannya kerana dia mengingati lirik ciptaannya. Inilah kali pertama lagu tersebut didendangkan secara penuh. Penonton lain yang hadir pada mulanya tidak percaya bahawa kami serius untuk membawanya ke maljis dinner itu nanti namun aku beritahu bahawa kami belum membincangkannya dengan pihak pengurusan jamuan dinner tersebut. Lagu itu dibawa secara sentimental dengan alunan plucking.

Pada sesi latihan berikutnya, Faizul hadir. Dalam sesi tersebut, kami diajar untuk tidak berdiri kaku semasa bermain gitar. Kami diminta untuk menggoyangkan badan sedikit supaya tidak nampak kaku. Para penyanyi pula di minta untuk memperbetulkan sebutan supaya jelas.
Lagi satu, katanya dia dapat khabar bahawa kami ada menyediakan lagu untuk IRIS dan dia mahu kami merakamnya. Semasa mendendangkan lagu tersebut, kami menukarkan beatnya dengan lebih rancak di bahagian korus supaya lebih tampak bertenaga. Dibantu pula oleh kehadiran penonton yang mudah menghafal liriknya dan turut menyanyikannya, lagu itu nampak lebih hidup dan bertenaga. Versi kali ini nampak lebih rock. Faizul seolah-olah mahu membawa lagu ini kepada pengetahuan ahli pengurusan majlis itu nanti. Jika diterima, nampak gayanya lagu ciptaan Azim akan berkumandang secara live di majlis tersebut. Bertuah rasanya kerana sesi di studio menampakkan kehadiran semua ahli band. Anak Azim pun dah sihat. Nampaknya segalanya akan berjalan lancar selepas ini.



* * * * * *

Selang seminggu selepas itu, Kak Ida sudah mula bekerja seperti biasa. Duit peruntukkan latihan sudah kami terima dan kami merancang untuk menggunakan wang itu pada sesi berikutnya. Wang kami yang lepas kami tidak mahu tolak. Jadual jamming yang sepatutnya sejam bolehlah kami gunakan untuk dua jam latihan akan datang. Bak kata Ike dan Azhar, kira 'halal'lah. Yang lain turut tidak membantah. Biarlah berkorban sikit walaupun persembahan kali ini sekadar seperti persembahan amal.

Kami membuat pertemuan pertama kali dengan para penari di auditorium. Mereka akan besama kami untuk menjayakan lagu 'Malam Pesta Muda Mudi'. Hanya empat orang lelaki di kalangan mereka dan salah seorangnya adalah Nasrul. Pertemuan ini berlaku pada sesi pemilihan kostum. Aku dan Azhar adalah orang pertama yang mencubanya dan menolak mentah-mentah cadangan itu. Kenapa? Kerana kami diberi baju ala-ala Elvis Presly yang berwarna merah jambu. Aku tak sanggup menyarungkannya di badan aku tapi terpaksa naik ke pentas untuk sesi bergambar. Apa lagi, aku pun menggayakannya seperti John Traviota dalam Saturday Night Fever dengan tangan menunjuk ke langit. Andai benar itu kostum kami, tentu berebut-berut nak pakai yang putih sebab yang putih ada dua sahaja.

Kami mengadakan sesi pertemuan dengan Kak Ida lagi untuk berbincang masalah kostum di bahagian luar berhadapan pintu auditorium. Kak Ida setuju dengan cadangan kami untuk mengenakan kot hitam dengan tali leher yang berwarna terang. Dia akan memberi peruntukkan untuk kostum selepas ini. Kami gembira dengan cadangan itu kerana ia kelihatan lebih mudah dicari berbanding kesusah-payahan untuk mengenakan baju berwarna 'pink'. Aku sempat lihat Azza senyum mengejek bila mendapat tahu kami bakal memakai pakaian 'pink'.

Bila semua dah sepakat, kami kembali masuk ke dalam auditorium. Sempat melihat Azza di ajar oleh koliografer untuk bergerak lebih gedik. Pada masa itulah giliran kami berlima mengejek Azza. Apa yang aku tak boleh lupa adalah semasa koliografer lelaki yang lembut itu menunjukkan cara kepada Azza berlari terloncat-loncat sambil memontokkan pinggul.

"Tap tap tap, taaaap...!!!", katanya sambil menunjukkan langkah.

Ternyata Azza tidak mampu meniru kelembutan dan kegedikkannya. Kami tidak mampu menahan ketawa. Aku cuma selindungkan ketawa aku disebalik jaket kelabu yang biasa aku pakai. Sebelum koliografer itu perasan kami sedang mengajuknya, lebih baik kami keluar. Tak pasal-pasal ada yang kena lempang. Fattah meniru gaya dan dialog koliografer itu sebijik-sebijik di luar auditorium. Gaya Fattah terus diselangi dengan gelak ketawa dan ikut-ikutan yang lain.




0 Komen: