Thursday, May 20, 2010

Raja Lawak sebenar: P. Ramlee

Nama P. Ramlee bukanlah nama yang asing bagi kita. Namanya cukup gah di persada tanah air dari zaman ke zaman. Walaupun eranya bermula di sekitar tahun 1950an, irama dan filem-filemnya tidak pernah berhenti dipertontonkan kepada kita.

Aku ingat lagi semasa kecil dulu, filem P. Ramlee ditayangkan semula melalui slot ‘Teater Bintang Legenda P. Ramlee’ di TV1. Kalau tak silap aku, slot ini ditayangkan pada setiap hari rabu pada pukul 8.30 malam. Slot pertama ‘Teater Bintang Legenda P. Ramlee’ pada masa itu dimulakan dengan filem Nujum Pak Belalang.

Setiap hari Rabu selepas berita perdana disiarkan, aku dan adik-adik aku mula berada di depan TV. Memang seronok menonton filem-filem P. Ramlee. Setiap adegan, setiap tutur kata dan pergerakkan, semuanya akan membangkitkan gelak ketawa. Lakonan mereka pun nampak bersahaja.

Hingga hari ini, filem-filem beliau memberi kesan yang mendalam dalam kehidupan harian kita. Walaupun filem-filem P. Ramlee ini di ulang tayang di Astro Prima, aku dan adik lelaki aku tidak jemu untuk menontonnya semula. Unsur kelakarnya tidak stereotype, tidak mengada-ngada atau kelihatan dibuat-buat, tidak kelihatan bodoh-bodoh dan bait-bait tutur kelakarnya di selitkan dengan pengajaran. Pelakon-pelakon tambahan dan pelakon extra mereka turut menghidupkan suasana.

Dalam cerita Seniman Bujang Lapok, ceritanya berkisar tentang hidup berjiran. Kerenah jiran tetangga yang bermacam ragam ditonjolkan melalui filem ini. Secara tidak langsung, ia mengingatkan aku tentang hidup kejiranan kita pada hari ini yang penuh dengan pelbagai ragam. Suami isteri bergaduh, bunyi bising ujian enjin kenderaan, bunyi muzik yang dibesarkan dan suara kanak-kanak bermain. Ada diselitkan mengenai masalah rumah tangga jiran mereka akibat suami tidak memiliki harta kerana menanggung hutang yang besar untuk belanja kahwin. Itu juga memberi kesan dalam diri aku untuk memikirkan soal rumah tangga.

Kalau anda ingat kembali dalam filem Ibu Mertuaku, ada diselitkan komedi romantik yang mungkin mengenangkan kita akan kisah-kisah cinta pada zaman sekarang. Aku ingat lagi ada kisah ‘blind date’ melalui laman chatting suatu ketika dulu. Bertemu tetapi menggunakan orang samaran sebagai ganti kerana malu untuk memperkenalkan siapa diri sebenar. Dalam filem ini, Kassim Selamat dan Sabariah menggunakan orang samaran untuk saling bertemu pada kali pertama.

Dalam filem Anakku Sazali, Allahyarham P. Ramlee menceritakan kisah mengenai pengakhiran cerita seorang anak yang diberi kasih sayang dengan wang ringgit (kebendaan) dan kerosakkan akhlak. Apa yang cuba ditonjolkan oleh beliau adalah kesan daripada kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak dan memanjakan mereka dalam bentuk yang salah.

Tentu anda juga tidak lupa pada cerita Ahmad Albab. Cerita yang mengisahkan Syawal, seorang pengembala kambing yang berkahwin dengan Mastura, seorang gadis kaya. Walaupun Mastura dibesarkan dalam keadaan serba mewah, Mastura tabah dalam mengharungi hidup bersama suaminya dalam keadaan yang serba kekurangan. Aku tak lupa pada sebutan Syawal pada sayur-sayuran seperti Falato (Petola) & Brendi (Bendi). Jalan ceritanya menarik namun ada unsur-unsur nasihat diselitkan hingga ke hujung cerita.

Filem Sarjan Hassan cuba memotivasikan kita untuk menaikkan semangat patriotisma dalam diri masyarakat. Dia cuba membangkitkan semangat kita untuk bersatu dalam menaikkan negara dan melawan musuh dari luar serta menghapuskan pengkhianat bangsa.

Filem Semerah Padi cuba memberi penonton gambaran mengenai sistem pemerintahan Islam. Ia berkisar mengenai sebuah kampung yang mana sistem perundangan Islam digunakan sebagai akar tunjang dalam pemerintahan.

Filem Sumpah Orang Minyak juga menyaksikan bagaimana P. Ramlee cuba menggambarkan akan kesan seseorang yang cuba mengikut telunjuk iblis dan gagal dalam mengelak godaannya demi untuk mencapai hajat.

Aku tak boleh lupa dengan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham yang turut menghidupkan filemnya seperti S. Samsudin, Aziz Satar, Sarimah, Bat Latif (Belalang), Zaiton, Udo Omar (Haji Bakhil), Normadiah, Ahmad Nesfu, Saloma, S. Kadarisman, Ibrahim Pendek, Sharif Dol, M. Zain (Labi), Saadiah, AR Tompel dan Ibrahim Din.

Antara filem-filem kegemaran aku adalah:
  1. Ahmad Albab
  2. Ali Baba Bujang Lapok
  3. Anakku Sazali
  4. Hang Tuah
  5. Ibu Mertuaku
  6. Labu Labi
  7. Nasib si Labu Labi
  8. Nujum Pak Belalang
  9. Pendekar Bujang Lapok
  10. Sarjan Hassan
  11. Seniman Bujang Lapok
  12. Sumpah Semerah Padi
  13. Tiga Abdul

2 Komen:

REYAZD said...

aku paling suka tengok cite pendekar bujang lapok dan nujum pak belalang

Alfreedino Ahmad said...

sedih plak aku dengar cerita bagaimana karier beliau berakhir.