Wednesday, May 12, 2010

Berfikiran terbuka VS berfikiran bebas.

Ramai orang memandang tinggi kepada mereka-mereka yang berfikiran terbuka atau selalunya disebut sebagai 'open minded'. Malangnya tidak ramai antara mereka betul-betul membuka minda mereka untuk memahami bagaimana konsep berfikiran terbuka itu sendiri.


Tahukah anda, masyarakat mengklasifikasikan konsep berfikiran terbuka ini lebih kepada konsep berfikiran bebas yang mana menolak unsur-unsur keagamaan dan budaya di dalam kehidupan harian? Konsep berfikiran terbuka yang ramai diantara kita fahami adalah membenarkan segala jenis kebebasan yang biasanya ditolak oleh unsur-unsur keagamaan dan kebudayaan timur. Bagi mereka-mereka yang tidak tergolong dalam golongan seperti yang disebutkan ini, mereka akan digelar sebagai orang yang berfikiran konservatif.

Daripada definisi 'open minded', disebutkan bahawa ia bermaksud - having a mind receptive to new ideas or argument (mempunyai fikiran yang berkebolehan untuk menerima idea-idea dan hujah yang baru).

Aku bersetuju jika konsep 'open minded' yang disebutkan di atas menolak kepercayaan tradisi sesuatu masyarakat dalam mengamalkan sesuatu kebiasaan atau adat yang tidak masuk akal tanpa mengetahui sebab-sebab dan asasnya. Apa yang menjadi persoalannya di sini adalah masyarakat menerima konsep 'open minded' ini bukan sekadar menolak kebiasaan itu, sahaja tetapi menerima segala unsur kebebasan moden tanpa perlu mengetahui apa risiko dan kesan-kesan yang bakal dibawa olehnya. Penerimaan konsep 'open minded' begini adalah cara yang salah dalam mentafsir makna sebenarnyanya dan ia lebih menjadikan masyarakat sebagai masyarakat yang berfikiran bebas.

Apa yang aku maksudkan sebagai berfikiran bebas di sini? Cuba anda lihat disekeliling anda, pasti anda akan dapati ada di antara rakan-rakan kita yang kelihatan cuba membudayakan dirinya dengan kehidupan moden ala-ala masyarakat barat walaupun kulitnya sawo matang dengan muka melayu tulen. Mereka tidak membataskan pergaulan mereka antara lelaki dan perempuan walaupun topik di atas ranjang kerana bagi mereka, mereka cukup dewasa untuk malu-malu berbual mengenainya.

Apa yang menjadi kerisauan kepada kita adalah, mereka tidak malu untuk menerima perkara-perkara yang haram dalam agama Islam sebagai amalan kehidupan mereka dan tidak segan untuk bercerita dan membincangkannya di hadapan rakan-rakan sekeliling. Mereka juga tidak malu untuk berpakaian yang mengghairahkan untuk mendapat perhatian orang lain. Mereka juga terus menolak unsur-unsur keagamaan dalam hal ehwal harian. Jika kita menolak amalan-amalan kebiasaan mereka, kita di katakan tidak 'open minded'.

Apa yang aku percaya adalah agama Islam itu merupakan salah satu jalan untuk seseorang berfikiran terbuka. Agama Islam menolak unsur-unsur adat dan amalan tradisi yang karut-marut yang ada di dalam masyarakat. Setiap apa yang turun melalui wahyu dan disampaikan melalui baginda S.A.W semuanya mempunyai hujah-hujah yang kukuh.

Dalam Surah Ar-Ra'd, ayat ke-3 Allah berfirman dengan maksudnya: "Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir."

Jelaslah Al-Quran itu sumber ilmu dan menggalakkan pengikutnya berfikir untuk mengenal tanda-tanda kekuasaan penciptanya. Dalam Al-Quran, telah diterangkan bagaimana cara pergaulan, bagaimana pula cara berpakaian, makanan dan cara hidup bermasyarakat.

Bagi mereka yang mengakui berfikiran terbuka ini, mereka menganggap sesiapa yang mengikut ajaran agama seolah-olah berfikiran kolot sedangkan apa-apa yang turun dari Allah itu merupakan satu kesempurnaan cara hidup untuk manusia dipandang mulia.

Bukalah fikiran kita, bentangkanlah huraian dan sebab-sebabnya kenapa satu-satu suruhan dan larangan itu di turunkan, insyaAllah kita akan dapati hikmahnya disebalik satu-satu perintah itu. Jika kita tidak mahu berfikir dan menolak segalanya, itulah dia erti sebenar berfikiran sempit dengan mengamalkan cara berfikiran bebas tanpa mahu membincangkan idea-idea dan hujah-hujan sebenar sesuatu hakikat.

PS: Ideas do not come to those who wait. They come to those who innovate.