Sunday, December 20, 2009

Generasi Muzik

"Bila memandang gambarmu, hatiku rasa terharu
Senyuman dibibirmu menawan kalbu
Mengapa hanya bayangan, tak sanggup berjauhan
Andainya kita bersua betapa mesra"

Dipetik dari lagu Semakin hari semakin sayang dendangan Uji Rasyid.


Dari buaian lagi, aku didodoikan dengan alunan merdu suara ibu. Hingga kini jika suara Uji Rasyid berkumandang di mana-mana, aku terus terbayangkan wajah ibu yang amat aku sayangi. Aku yakin semenjak aku dalam kandungannya lagi, ibu sering mendendangkan alunan merdu suaranya untuk menghiburkan hatinya yang berbadan dua.

Betapa kuatnya pengaruh muzik dalam kehidupan seharian kita. Pada era 80-an, era yang mana aku dilahirkan, pengaruh lagu-lagu Hail Amir, Uji Rashid, Sudirman, Noorkumalasari dan beberapa bintang terkemuka tanah air masih lagi menjadi siulan pada masa itu walalupun muzik mereka bermula di era 70-an. Aku ingat lagi masa kecil-kecil dulu jika filem yang dibintangi oleh Uji Rasyid di tayangkan di TV, aku mesti berkata pada ibu aku, "macam Mummy lah". Pasti ibu aku akan tersenyum mendengar kata-kataku.

Aku mungkin membesar di sekitar tahun 90-an dengan lagu-lagu di zaman aku yang mungkin berbeza dengan zaman ibu aku. Muzik di era aku agak sempit dengan kemunculan kumpulan-kumpulan rock kapak yang tidak mempunyai variasi tersendiri, semuanya mempunyai stail yg sama dengan muzik yg sama. Namun begitu, dendangan lagu-lagu yang ibu nyanyikan sepanjang membesarkan aku tetap meninggalkan kesan dalam diri hingga kini.

Apa yang hendak ditonjolkan di sini adalah penggunaan medium penghantar muzik ke telinga pendengar dari satu era ke satu era yang lain. Pelbagai alat dicipta untuk merealisasikan kehendak pendengar. Dari sebesar-besar alat hingga sekecil-kecil perkakasan digunakan untuk memenuhi kepuasan. Yang jelas, semua dicipta untuk menyampaikan pelbagai jenis karya muzik dan hiburan.

Mungkin anda pernah mendengar alat muzik yang dipanggil sebagai 'pemain piring hitam'. Ia diperkenalkan sejak era 50-an hingga 60-an. Jika anda pernah melihat filem 'Anakku Sazali', alat muzik yg Hassan hadiahkan kepada Mahani itu merupakan 'pemain piring hitam'. Ia mempunyai saiz yang agak klasik sesuai dengan era itu yang mempunyai sebuah serombong pengeluar bunyi. Alat ini juga perlu sentiasa di pusingkan untuk memastikan supaya muziknya akan terus berputar. Selepas zaman beredar, piring hitam masih digunakan untuk merakan lagu hingga ke tahun 80-an tapi menggunakan alat yg lebih canggih dengan bantuan kuasa eletrik serta dibantu oleh penciptaan speaker dan radiogram.


Selepas itu, penggunaan tape dan kaset sudah mula diperluaskan. Dengan saiz yang kecil dan mampu untuk merakam satu album lagu, ia mudah dibawa ke mana-mana. Zaman 70-an dan 80-an merupakan zaman yang banyak menggunakan medium sebegini untuk menyampaikan muzik. Penciptaan mini-compo memudahkan muzik dimainkan dimana-mana. Jika anda pernah melihat filem-filem kolej Faizal Hussien pada zaman breakdance, anda pasti pernah melihat bagaimana remaja pada zaman itu berhibur. Berjalan dengan sebuah mini-compo di sebelah bahu sambil bergerak mengikut alunan muzik. Jika mereka bertemu dengan rakan seperjuangan, mereka akan mencari tempat lapang untuk menari bersama. Yang penting, muzik akan terus dimainkan dengan cara mereka tanpa menghiraukan orang lain.


Era 90-an merupakan era canggih dan pembaharuan yang agak besar dalam bidang muzik. Di era ini cakera-liut atau CD diperkenalkan. Dibantu oleh penciptaan Mini-Hifi & Midi-Hifi yang mampu mengeluarkan bunyi yang cukup hebat untuk penggemar muzik semasa. Saiznya yang agak nipis memudahkan ia dibawa ke mana-mana dan mudah untuk diuruskan. Kerana kehebatan bunyi yang ada pada sistem Hifi, penciptaan lagu-lagu remix diperluaskan. Banyak lagu mula diremix-kan dan kemunculan lagu-lagu rap tumbuh bak cendawan. Aku masih ingat lagi pada kemunculan kumpulan KRU yang menjadi kegilaan ramai pada waktu itu. Mereka menghasilkan muzik yang mempunyai kualiti tinggi. Aku yang merupakan peminat pada band ini tidak pernah ketinggalan untuk menyimpan semua koleksi album mereka. Selain itu, kemunculan boy-band dari luar negara turut menyumbang dalam perkembangan muzik tanah air seperti N'Sync, BSB, Britney Spears, Boyzone, Spice Girl dan banyak lagi. Aku masih ingat lagi bagaimana lagu dangdut Malaysia turut menghiasi variasi muzik tempatan. Lagu-lagu dangdut ini tidak banyak menggunakan seruling sebagaimana lagu-lagu dangdut di Indonesia tapi berentak lebih rancak atau dikenali sebagai dangdut disko.


Era millenium atau permulaan Y2K telah mengalihkan peminat muzik kepada penggunaan lagu-lagu berformat mp3. Walalupun format mp3 telah diperkenalkan sejak era 90-an lagi, era millenium merupakan penggunaan meluas lagu-lagu berformat begini. Dengan kehadiran peminat-peminat muzik yang mempunyai latar belakang komputer yang cukup kuat, dibantu dengan penggunaan internet, lagu-lagu dapat dicapai dengan mudah. Tidak perlu lagi piring hitam, kaset atau CD. Pemain muzik telah diperkenalkan dengan kemunculan mp3 player atau yang paling baru, IPod. Selain itu, penggunaan telefon bimbit yang mempunyai ciri-ciri mp3 player turut membantu perkembangan muzik sebegini sehingga peminat muzik hampir tidak perlu mengeluarkan kos untuk mendengar muzik. Aliran muzik baru pada awal millenium hampir melenyapkan kehadiran boy-band yang pernah mendominasi muzik sebelumnya. Era millenium telah memperkenalkan muzik rock aliran baru atau dikenali sebagai Modern Rock dan Alternatif. Kemunculan band-band rock seperti OAG, Flop Poppy, Butterfinger, Linkin Park, Red Hot Chili Peppers, Creed, Avril Lavigne dan Alanis Morissette menjadi penghias era awal Y2K. Memang benar kata ayah aku, muzik rock ini tidak pernah berakhir, ia adalah muzik sepanjang zaman. Malah ia bermula dengan cara yang baru di era millenium. Kerana kemunculan band-band ini, aku mula memetik gitar. Yang aku tak boleh lupa, kehadiran muzik nasyid Raihan telah mencoretkan sejarah baru dalam industri tempatan. Mereka memberi inspirasi kepada peminat muzik dalam dakwah mereka dan mereka merintis dalam kemunculan kumpulan-kumpulan nasyid lain seperti Rabbani, Hijjaz, Brothers dan NowSeeHeart. Aku tetap sayangkan Nasyid kerana sejarah menjadi johan Nasyid Kuittho adalah yang paling manis dalam hidup aku.


Sudah hampir berakhir era awal millenium. 2009 akan ditinggalkan dan 2010 akan menjelma. Muzik tetap tidak pernah luput dari pendengaran kita. Aku yakin, ibu dan ayah aku telah melalui peredaran muzik sepanjang 5 dekad sejak zaman P. Ramlee hingga kini. Mereka berdua sedar yang mereka telah ditinggalkan oleh teknologi muzik yang semakin canggih namun mereka tetap tidak pernah berhenti untuk terus mendengar.

Di akhir era Y2K ini, kemunculan pelbagai variasi muzik telah menjelma. Dari Rock, Pop, Jazz, R&B, Rap, Hip Hop, mereka bergabung membentuk variasi. Sudah tiada kedengaran lagu-lagu dakwah. Yang menyerikan muzik tanah air kebanyakkannya lagu-lagu antarabangsa dan Indonesia. 10 artis Indonesia muncul dengan karya mereka, baru 1 artis Malaysia yg berkualiti hadir. Kita tidak mampu bersaing dengan kualiti muzik mereka. Bukan salah pendengar kerana pendengar itu berhak memilih apa yang mereka mahu dengar. Jadi kita perlu menghasilkan muzik berkualiti kita supaya muzik kita menjadi pilihan pendengar. Menyekat kemasukkan muzik asing itu tidak akan membantu. Ia seolah-olah kita menyingkirkan semua pelari pecut 100 meter negara lain dari sukan SEA dan bersaing dengan rakyat Malaysia sahaja untuk memastikan emas dalam genggaman.

Dengan kecanggihan teknologi yang semakin berkembang dalam bidang muzik, karya-karya kita juga harus terus berkembang. Jika dipandang sejarah, lagu kita pernah menjadi siulan orang-orang luar. Seorang sahabat baik aku pernah beritahu yang rakan sekolah dia kat US dulu pernah mendendangkan lagu Isabella tanpa tahu apa maksud lagu itu. Kumpulan iklim juga pernah menjadi kumpulan popular di Indonesia hingga semua lagu-lagu mereka diketahui umum di Indonesia. Lagu-lagu Raihan juga pernah menembusi pasaran luar negara oleh pendengar-pendengar bukan Melayu di luar sana.

1 Komen:

Anonymous said...

Woi senang hati je jual nama orang...hak cipta terpelihara ni...ada minta izin tzk sebelum publish....

Ayoi