Sunday, December 27, 2009

Erti Sebuah Senyuman

'Manis wajahmu ku lihat di sana
Apa rahsia yang tersirat
Tapi zahirnya dapat ku lihat
Mesra wajahmu dengan senyuman'

Begitulah bait-bait lirik dalam sebuah lagu nasyid dendangan kumpulan Raihan. Lagu ini mempunyai lirik yang cukup indah untuk dihayati ke dalam kehidupan seharian kita.

Senyum itu indah. Senyum itu sedekah. Senyum itu iman.

Tiada apa yang susah untuk menguntum sebuah senyuman? Sekadar menguntum senyum, berganda pahala yang bakal kita peroleh. Tidak sesekali rasa terhutang budi dalam mendermakannya. Apa hikmah senyuman ini? Mari baca cerita aku.

Setiap pagi selepas mengucapkan salam ke makmal, aku lihat senyuman Linda, senang hatiku. Kemudian aku lihat kelibat Dazlee dan Abu yang sudah mula membuka komputer sambil menanti ketibaan rakan-rakan lain. Mereka juga senyum. Ayoi dan Azlan menyusul ke makmal turut dengan senyuman diikuti kehadiran Azmir yang punyai senyumannya paling manis antara mereka.

Sampai ke kantin, berselisih dengan rakan-rakan production yang turut menguntum senyuman menambah keceriaan pagi. Junal, Mie, Ubai, Sattu, Malik, Faizal dan rakan-rakan mereka yang lain tidak pernah menunjukkan wajah sombong mereka. Bukan setakat senyuman, malah teguran dengan gurauan yang menambah keakraban. Kekadang, teguran tanpa bahasa seperti mengangkat kening sudah memadai untuk mengatakan ‘hai’.

Aku terus memandang ke sekeliling kantin. Seorang demi seorang masuk ke kantin dengan senyuman manis pagi. Walaupun senyum itu diberikan kepada rakan-rakan mereka, namun ia tetap menghiasi suasana. Tambahan pula jika senyuman itu dari mereka yang berwajah manis, senyuman mereka tetap menggembirakan semua.

Hatiku senang melihat senyuman semua orang. Pagi kelihatan begitu ceria. Ternyata inilah hikmah sebuah senyuman. Ia adalah petanda yang baik untuk memulakan pekerjaan.

'Hati yang gundah terasa senang
Bila melihat senyum, hatikan tenang
Tapi senyumlah seikhlas hati
Senyumlah dari hati
Jatuh ke hati'

Kekadang ada rasa cemburu melihat mereka-mereka yang mempunyai senyuman manis dengan susunan gigi yang rapi. Mereka boleh senyum dan dalam masa yang sama ketawa hingga memperlihatkan gigi mereka yang rapi susunannya. Aku yang tak punyai senyuman manis ini kadang-kadang rasa malu untuk menguntum senyuman sebagaimana mereka. Bila aku fikir-fikirkan senyuman itu sebagai ibadah, aku juga tidak mahu ketinggalan dalam melaksanakannya. Biarlah aku terus menguntumkan senyuman aku ini, asalkan orang lain merasa ikhlasnya. Semoga rasa ikhlas itu akan bersinar dengan cahaya yang akan menutup segala kelemahan dalam senyuman aku.

Senyum ni pun sebenarnya membawa pelbagai makna. Ada senyuman tawar, tak ada kena mengena dengan tepung tawar tapi sebuah senyuman orang yang berduka. Walau berduka, bibirnya masih setia untuk mengukir sebuah senyuman. Senyumnya ala kadar je sekadar membalas senyuman manis anda.

Ada juga senyum perli, senyuman menyindir. Senyuman begini tak elok tau! Senyuman perli ni agak lain macam sikit tapi kita faham ia bertujuan untuk memperlekehkan kita. Samada memperlekeh untuk tujuan menghina ataupun tujuan bergurau.

Senyuman menggoda, senyuman penuh makna dengan harapan untuk mendapat perhatian. Ni lagilah lain macam. Dimulai dengan memandang-mandang diikuti dengan jelingan-jelingan manja kemudian menguntum senyuman yang konon-kononnya macho atau ayu. Kemudian, bermulalah ayat-ayat power. Dengan kata lain, senyuman gatal nak memikat.

Sengih juga merupakan senyuman. Sengih ni bolehlah dikategorikan sebagai senyuman mengada-ngada. Tak ada angin, tiba-tiba je senyum. Kadang-kadang kita pun tak faham kenapa dia senyum. Orang yang tersengih ni kita boleh lihat ‘Poker Face’ mereka. Macam lagu Lady Gaga tu.

Senyum manis adalah senyuman yang ikhlas datang dari hati. Ia bukan dibuat-buat tapi hadir disertai dengan rasa gembira di dalam hati mahupun dengan tujuan mengembirakan orang lain. Melihat senyuman begini mampu menghilangkan rasa gundah gulana. Mungkin juga mampu melahirkan rasa sayang pada seseorang individu itu.

Tapi, sebaik-baik senyum adalah senyuman yang tidak memperlihatkan gigi sebagaimana senyuman Rasulullah S.A.W.

Namun begitu, aku tetap merasa pelik dengan sesetengah orang yang berat untuk melihat senyuman mereka. Adakah akan terhakis bilangan harta mereka bila mereka menguntum senyum? Ada antara mereka yang pernah makan semeja denganku. Ada juga yang pernah berbual semasa bersama menghisap rokok. Paling kurang pun ada antara mereka yang saling berurusan dalam hal-hal pekerjaan diwaktu bekerja. Yang menjadi kepelikkan aku, mengapa mereka seperti tidak menghiraukan kehadiran kita pada waktu-waktu yang lain ketika berselisih?

Aku pernah mendengar kata orang tua-tua, jika kita kedekut dengan senyuman, kita akan kurang kawan. Bila mengingati kata-kata itu, aku segera melihat keadaan mereka tadi. Ya benar, mereka memang dikalangan orang-orang yang tidak mempunyai ramai kawan rapat. Mereka hidup dalam kehidupan mereka sendiri. Mereka jenis orang-orang yang walau tak buat kesalahan pun, orang tetap tak menyenangi mereka. Mungkin boleh dikategori sebagai orang yang sombong dengan senyuman. Dan mungkin, ada golongan-golongan tertentu sahaja yang layak untuk mendapat senyuman dari mereka.

Aku pun kembali memuhasabahkan diri. Ramaikah kawan aku? Cukupkah aku senyum pada kenalan-kenalan aku pada hari ini? Adakah aku ada membuat orang terasa hati semasa berselisih tadi? Atau adakah aku memilih-milih orang untuk menguntum senyuman pada hari ini? Semoga aku jauh dari perbuatan sebegini dan semoga aku akan mampu melihat senyuman mereka di lain kali biar sama-sama merasa nikmatnya sebuah senyuman.

Kepada rakan-rakan yang turut membaca blog Zaman Berzaman ini, harap-harap dapat menegur aku jika anda gagal menerima senyuman dari aku semasa berselisih.

Senyuman itu membawa seribu erti dalam kehidupan kita. Di sebaliknya ada rahmat tersembunyi. Amatlah malang jika kita gagal untuk melaksanakannya.

"Senyumanku untukmu"

4 Komen:

Unknown said...

Kadang-kadang kita tak boleh terlalu cepat menghakimi orang. Mungkin seseorang itu sukar mengukirkan senyuman sebab terlalu banyak kisah pahit dalam hidupnya. Kita tak tahu. Atau mungkin dia sekadar berniat untuk menundukkan pandangan seperti yang dituntut dalam Islam. Kita juga tidak tahu. Segalanya terpulang pada niat masing-masing...

Alfreedino Ahmad said...

takpe la, mungkin benar ada kisah pahit dlm hidup mereka atau mungkin juga mereka menundukkan pandangan walaupun mereka tidak kelihatan menunduk. kita sama2lah berdoa semoga suatu hari nanti mereka akan mampu mengukir senyuman untuk terus menceriakan hari2 kita...

Anonymous said...

hurm..sangat "sopan" post nih!ala adam..sengeh je kat sesapa pon..depa tak sengeh balik, lantak depa la.. *wink

Anonymous said...

Nak sengeh tu pun kena bertempat gak sbb org gile pun tersengeh je kat sapa2